Hujan yang turun bagaikan mutiara…
Alhamdulillah lama rasanya tidak ditimpa hujan. Walaupun hujan di perlembahan Nil ini tidak selebat di Malaysia, segarnya masih terasa bagai bumi tandus dibasahi air. Dikala hujan, siapa yang tidak terkenangkan zaman kanak-kanaknya yang penuh ceria bermain hujan. Bertambahlah rindu hati ini pada kampung halaman yang tercinta. Dikala hujan, doa amat mudah diterima Allah. Moga hujan ini menjadi penyegar kepada jiwa yang makin sirna semangatnya.
Hujan bukan sekadar membasahkan bumi, malah selepas itu sang pelangi pasti menampakkan diri. Wah, betapa indahnya ciptaan Allah!. Jika dihayati kejadian Allah ini, ada sesuatu yang patut kita teliti.
Di mana sahaja bumi ditimpa hujan, di situ pasti akan adanya kehidupan. Kita boleh lihat dalam gambar ini, disebabkan hujanlah, atas bangunan pun ada tumbuhan yang mampu hidup. Itulah rahmat Allah diturunkan melalui hujan.
Jadi kita sebagai sebaik-baik makhluk patutnya mengikuti resmi hujan. Di mana sahaja bumi kita ditempatkan, di situ juga kita bermanfaat kepada orang lain. Fikir-fikirkanlah…



Alhamdulillah, rahmat Allah itu melangit luas. Terlalu sedikit rupanya daku bersyukur.